BATU PAHAT – Wanita yang cedera dalam nahas bas di Chiang Mai, utara Thailand dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini mulai semalam, kini semakin pulih, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat.
Beliau berkata Lee Siew Kim, 61, yang didaftar masuk di HSNI pada 8.56 pagi semalam sejurus tiba dengan ambulans Hospital Sungai Buloh, Selangor, dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, juga sudah boleh berjenaka.
“Pemeriksaan awal mendapati Lee mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat hentakan semasa kemalangan, mengalami kecederaan pada tisu bahagian kiri dada, luka pada kaki kanan.
“Keadaan psikologinya adalah stabil dan tenang tetapi masih dalam keadaan terkejut serta trauma dengan kejadian yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat Lee di wad HSNI, di sini, hari ini.
Ayub berkata Lee yang dalam proses penyesuaian diri kini menerima sokongan baik daripada keluarganya dan berada di bawah pemantauan pakar bedah dan pakar psikiatri HSNI.
Beliau berkata Lee yang mempunyai rekod penyakit darah tinggi juga dijangka dibenarkan pulang apabila emosinya telah pulih.
Mengenai lapan lagi mangsa yang cedera dan masih berada di tiga hospital di Chiang Mai, Ayub berkata anggota keluarga mereka ada bercadang untuk membawa kesemuanya pulang dan dirawat di HSNI.
Katanya kesemua mereka belum dibenarkan pulang oleh pegawai perubatan di hospital berkenaan berikutan keadaan yang belum stabil sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan semua mangsa dan keluarga nahas terbabit boleh mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar psikiatri HSNI sekiranya memerlukan.
Dalam kejadian Ahad lepas, 13 daripada 22 rakyat Malaysia yang kesemuanya berasal dari Batu Pahat terbunuh dalam nahas bas pada 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia).
Bas itu dilaporkan terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke Chiang Mai. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]PMBL7dw93gA[/wpdevart_youtube]