KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan pihak bank melelong rumahnya, seorang wanita warga emas di Alor Setar, Kedah bertindak berkhemah di hadapan rumah itu sejak 21 Disember lalu.
Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, wanita yang cuma mahu dikenali sebagai Salmah itu berkhemah di hadapan rumahnya di Titi Gajah kerana enggan meninggalkan rumah peninggalan bekas suaminya.
“Wanita berusia 60 tahun yang kematian suami sejak tahun 1999 ini mendakwa dia diarahkan keluar dari rumahnya baru-baru ini oleh individu yang berjaya membida rumah peninggalan suaminya.
“Salmah bagaimanapun tidak mahu berganjak dari rumah berkenaan dan terus menetap di hadapan rumah tersebut. 4PM bersimpati dengan nasibnya dan akan berusaha membantu menyelesaikan masalahnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Rosland berkata, 4PM yang menerima aduan daripada Salmah tiga hari lalu meragui cara bank melelong rumah wanita itu memandangkan rumah berkenaan dibeli oleh bekas suaminya yang telah meninggal dunia.
Kata beliau, pihak bank sepatutnya menyelesaikan tuntutan insurans rumah berkenaan berdasarkan syarat `Mortgage Reducing Term Assurance’ memandangkan pembelinya sudah meninggal dunia.
Justeru, kata beliau, 4PM sedang menyiasat perkara itu dan pihaknya akan mendapatkan keadilan untuk Salmah jika benar pihak bank sengaja mengabaikan tuntutan insurans seperti didakwa.
Beliau dalam pada itu menyelar sikap segelintir pembida rumah lelong yang bertindak menghalau penghuni asal sebelum tempoh 120 hari.
Menurut beliau, pemilik asal perlu diberikan ruang untuk mengeluarkan barangan mereka dan mencari rumah lain.
“4PM terima beberapa aduan pemilik asal dihalau keluar oleh pembida hanya beberapa jam selepas rumah mereka dilelong. Ini tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Orang ramai yang memerlukan bantuan 4PM diminta menghubungi talian 03-238 67835/019-2531000/019-3971000/011-1331 3155 atau menghubungi talian hotline 1700-818-707 atau melayari laman web www.pppqpmalaysia.weebly.com. – mynewshub.cc