Tumpat – Seorang warga emas sempat menasihati peragut yang melarikan gelang emas dipakainya supaya tidak melakukan perbuatan itu kerana dilaknat Allah SWT.
Bagaimanapun, tindakan itu ibarat mencurah air ke daun keladi apabila lelaki berusia 25 tahun terbabit tidak mengendahkannya, malah menolak wanita itu hingga jatuh.
Aminah Awang Teh, 62, yang juga pemilik kedai runcit di Kampung Jubakar Pantai, di sini, berkata, kejadian berlaku jam 11 pagi Sabtu lalu ketika lelaki itu berpura-pura mahu membeli minyak di kedainya.
“Dia minta mak cik isikan petrol di dalam plastik untuk motosikalnya dengan alasan mudah dipegang. Sebelum itu, mak cik sudah isi separuh di dalam botol.
“Belum habis mengisi minyak itu, dia menyambar tangan mak cik dan cuba meragut gelang emas di tangan kanan.
“Kami bergelut ketika itu dan sempat mak cik pegang tangannya dan nasihatkan supaya tidak berbuat demikian kerana dia bakal ditangkap. Lagipun perbuatan itu dilarang Allah SWT.
“Mak cik kenal dia sebab itu nasihat begitu, tapi dia tidak endahkan dan tolak mak cik sehingga jatuh,†katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Akibat kejadian itu, Aminah cedera ringan dan kerugian RM1,500.
Katanya, dia tidak sangka kejadian itu berlaku apatah lagi sudah mengenali lelaki terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Zaharuddin Rasip mengesahkan menerima laporan terbabit.
“Kami mengesan suspek berdasarkan keterangan mangsa dan berjaya menangkapnya pada hari kejadian.
“Berlaku sedikit pergelutan kerana suspek bertindak agresif dan kes disiasat mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan kerana meragut,†katanya.
Sebelum itu, gambar lelaki berkenaan viral di laman sosial kerana didakwa meragut dan berjaya ditahan penduduk kampung. – myMetro Online