BAGAN DATOH – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyertai lebih 10,000 orang menghadiri program Malam Cinta Rasul Bagan Datoh Berselawat di Tapak Pasar Malam Bagan Datoh di sini, Jumaat malam.
Ahmad Zahid yang berjubah putih tiba pukul 9 malam dalam program anjuran kerajaan negeri, Pejabat Menteri Besar, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Pusat Khidmat Parlimen Bagan Datoh.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Anggota Dewan Undangan Negeri Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Program dimulakan dengan bacaan doa serta alunan merdu nasyid, qasidah dan selawat atas Nabi Muhammad SAW dan turut menampilkan tokoh qasidah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf.
Sepanjang program itu Syech Abdul Qadir menyampaikan qasidah dan selawat ke atas Rasulullah SAW antaranya Ya Rasulullah Ya Nabi, Ya Hanana, Nurul Musthofa dan Ya Habib yang kebanyakannya dipetik menerusi beberapa album qasidahnya.
Esok, Ahmad Zahid dijangka merasmikan penutup program satu komuniti satu JPJ di Parlimen Bagan Datoh dan program ‘Jom JPJ’ peringkat negeri di Perkarangan Dataran Wisma UMNO, Simpang Empat, Hutan Melintang.
Beliau kemudian merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh 2015 di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh dan turut menyampaikan sumbangan pakaian dan peralatan sekolah kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah kawasan Parlimen Bagan Datoh.
Pada sebelah malam, Ahmad Zahid merasmikan program Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor kali ke-6 di Arena Pangkor Pasir Bogak, Pulau Pangkor. – BERNAMA