ERMA Fatima boleh dikatakan seorang pengarah yang berani menampilkan wajah-wajah baharu bagi membintangi drama-drama mahupun teater arahannya.
Dalam naskah terbarunya Zombie La La La, Erma turut mempertaruhkan beberapa wajah baharu dalam dunia pementasan teater antaranya Janna Nick, Hafreez Adam, Mei Fen dan Ajeera Rosli yang merupakan adik kepada dramatis terkenal, Amyra Rosli.
Apabila ditanya tentang ini Erma berkata, “Sebagai seorang senior dalam industri ini, saya harus memberikan peluang kepada semua tidak kira muda atau tua untuk melibatkan diri di atas pentas, kerana pentas ini adalah platform terakhir kepada seorang pelakon untuk mengakui diri mereka sebagai pelakon. Jikalau mereka berjaya menguasai pentas, mereka merupakan pelakon yang hebat.”
Pendapat Erma ini turut disokong oleh Siti Rohaya Atan, yang juga merupakan penerbit bersama Zombie La La La. Menurut Siti Rohaya, meskipun baru berjinak dengan teater namun artis-artis popular dipilih kerana ianya menepati selera penonton pada hari ini.
“Bila kita gabungkan pelakon yang baharu dan yang lama, pastinya akan ada audience yang tersendiri,” ujarnya.
Teater Muzikal Komedi Zombia La La La akan menemui peminat pada 13 sehingga 21 Februari 2016 di Panggung Sari, Istana Budaya. – MYNEWSHUB.CC