MODEL dan pelakon Zahnita Hussein Wilson terkejut apabila mendapat tahu suaminya membawa anak-anak mereka bercuti ke Thailand awal Disember lalu tanpa pengetahuannya, sedangkan pasport kedua-dua anak perempuannya itu berada dalam simpanannya.
Zahnita, 30, pada sidang media di pejabat sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan, anak-anaknya Zahrafeena dan Zasharayna mengikut suaminya, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor ke Thailand pada 2 Disember lalu dan pulang seminggu kemudiannya.
“Namun yang menjadi persoalan, bagaimana suami boleh berikan pasport baru untuk anak sedangkan pasport lama mereka masih sah tempoh sehingga Mei 2019 dan berada dalam simpanan saya,” katanya, memetik laporan Harian Metro.
Zahnita mempersoalkan bagaimana kedua-dua anaknya itu boleh memperolehi pasport baharu tanpa dokumen sah.
“Kenapa pasport baru dikeluarkan dengan senang tanpa dokumen sah anak-anak saya atau pun laporan polis jika didakwa pasport hilang.
“Sebab sudah tentu ada polisi sepatutnya dan saya ingin ia diperketatkan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Difahamkan Zahnita kini dalam proses penceraian dengan suaminya.
Berikutan bimbangkan keselamatan anak-anak, Zahnita tampil membuat laporan polis dan meminta kes itu disiasat. – MYNEWSHUB.CC