MADRID – Sesi pertama Parlimen Sepanyol menyaksikan kemunculan muka baharu tetapi mungkin paling mengejutkan ialah kehadiran bayi lelaki lima bulan yang dibawa ibunya; seorang ahli Parlimen, Carolina Bescansa.
Bescansa seorang daripada 69 ahli Parlimen daripada Parti Podemos berjalan masuk ke dewan rendah bersama-sama dengan anaknya, sebelum duduk dan memegangnya di atas riba sepanjang sesi.
Malah mendukungnya ketika dia berdiri mengundi untuk Speaker Parlimen. Sedutan video yang disiarkan mencetuskan jenaka dan perbahasan dalam Twitter, akhbar dan kalangan ahli politik.
Sebahagian daripada mereka berhujah bahawa tempat paling baik bagi seorang bayi ialah dalam pelukan ibunya manakala sebahagian lagi menyatakan sama ada ini adalah tempat paling sesuai untuk seorang bayi.
“Ini akan menjadi sidang paling pendek. Dengan anak Bescansa yang menangis, tiada siapa akan mendengar apa-apa pun,” kata @DavidPenalver menerusi Twitter.
Beatriz Escudero, ahli Parlimen dari Parti Popular yang menang pada pilihan raya Disember lalu tetapi tanpa majoriti kukuh, menyuarakan kemarahan menerusi Twitter.
“Setiap ibu harus memastikan semua perkara dalam keadaan teratur untuk ke tempat kerja. Parti Podemos fikir ini adalah perkara yang mengatasi institusi ini,” katanya sambil menuduh Bescansa mempergunakan anaknya untuk mendapatkan liputan muka depan akhbar.
Javier Maroto, juga dari Parti Popular, berkata kehadiran bayi itu bukan sesuatu yang “feminis” atau “progresif.” “Kita memang ada pusat asuhan dalam Parlimen,” katanya menerusi Twitter. – AFP
[wpdevart_youtube]8wkUd8MljWc[/wpdevart_youtube]