PAKISTAN sebelum ini telah menyekat akses ke laman web perkongsian video, YouTube selepas insiden melibatkan video The Innocence of Muslim tersebar di laman berkenaan iaitu kira-kira empat tahun lalu.
Filem pendek yang didakwa menghina kehidupan Rasulullah ini mengakibatkan berlakunya rusuhan di Pakistan dan beberapa negara bermajoriti penganut Islam.
Selepas menerima jutaan protes, video ini akhirnya dipadamkan oleh YouTube yang mana pada awalnya enggan memadamnya atas alasan kebebasan bersuara.
Bagaimanapun baru-baru ini, YouTube dilaporkan kembali boleh diakses di Pakistan.
Google telah melancarkan ‘YouTube Pakistan’ di mana laman khas berkenaan adalah lebih kurang sama seperti YouTube Malaysia.
Ia dikhususkan dengan memaparkan pelbagai kandungan daripada penerbit tempatan di halaman utama, sekaligus memudahkan pengguna mengetahui apakah yang sedang popular dan hangat ditonton pada sesuatu masa.
Menurut Google, versi ‘Pakistan’ ini buat masa ini beroperasi tanpa sebarang penjanaan wang melaluinya.
Seperti sedia maklum, laman YouTube Malaysia hadir dengan sokongan Bahasa Malayu, yang bermakna laman YouTube Pakistan tersebut akan juga hadir dengan bahasa Urdu.
Pengenalan YouTube di beberapa negara membangun turut menyertakan fungsi offline mode di mana negara terdekat dengan kita yang mempunyai fungsi berkenaan adalah Indonesia.
Mungkin kita akan melihat pihak Google terus memperluaskan YouTube mengikut negara dari tahun ke tahun, sekaligus akan memudahkan mereka memperkenalkan YouTube Red kepada negara luar Amerika Syarikat dengan mengawal kandungan dan perlesenan dengan mudah. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Newsky