SELURUH dunia, terutama di Indonesia digemparkan dengan kehadiran Virus Zika apabila seorang individu di Jambi, Sumatra Tengah dikesan dijangkiti virus berkenaan sejak awal 2015.
Sehingga kini, amaran ke beberapa kawasan di sana telah dikeluarkan bagi memastikan virus tersebut tidak dijangkiti dan tersebar secara meluas.
Sungguhpun negara kita masih belum mengeluarkan sebarang amaran bahaya, namun Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat kenyataan akhbar pada 29 Januari 2016, susulan Virus Zika yang semakin menular secara global dan berisiko kepada negara kita.
Virus Zika boleh menyebabkan bayi yang dilahirkan oleh wanita yang menghidapnya mengalami sejenis keadaan dikenali sebagai ‘microcephaly’.
Bayi yang dilahirkan dengan keadaan ini mempunyai saiz kepala yang kecil, sehingga mengganggu perkembangan otak.
Timbalan Pengarah Institut Eikjman, Prof. Dr. Herawati Sudoyo berkata, virus tersebut ditemui buat pertama kalinya di Indonesia sewaktu negara berkenaan dilanda kes peningkatan wabak demam denggi yang menyerang wilayah Jambi pada Disember 2014 hingga April lalu.
“Segalanya bermula sewaktu wabak demam denggi di Jambi. Kita diperintahkan untuk memeriksa sampel darah daripada 103 pesakit. Dalam salah satu pesakit, kami menemui Zika virus dalam sampel darahnya,” kata Herawati seperti disiarkan Kompas.
Jelas beliau, penemuan itu cukup mengejutkan kerana virus tersebut sebelum ini menjadi endemik hanya di kawasan Afrika dan sekitar Pasifik, serta sangat jarang ditemui di Asia Tenggara.
Menurut Frilasita Yudhaputri, seorang doktor di Institiut Eikjman, pesakit berkenaan yang berusia 27 tahun dilaporkan tidak pernah berkunjung ke luar negara sekaligus menandakan bahawa virus Zika telah sedia ada di wilayah berkenaan untuk beberapa ketika.
“Pesakit wanita itu menunjukkan simpton yang sama seperti pesakit yang menghidap denggi di Thailand, namun simpton yang dihadapi mangsa berbeza dengan pesakit yang dijangkiti virus yang sama di Brazil,” katanya.
Penyakit berkenaan dipercayai tersebar di wilayah Jambi akibat daripada bawaan bersama virus denggi oleh nyamuk Aedes.
“Cara terbaik untuk menghalang penyebaran virus ini tidak lain tidak bukan ialah menghapuskan tempat pembiakan nyamuk,” ujarnya.
Virus Zika boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. -MYNEWSHUB.CC
Sumber: Straitstime