JAKARTA – Tragedi serangan bom di sekitar pusat beli-belah Sarinah di Jalan MH Thamrin di sini, ternyata tidak mencetuskan rasa takut sekalipun dalam kalangan rakyat Indonesia, terutamanya di ibu kota negara tersebut.
Tidak lama selepas serangan nekad yang membunuh lapan orang itu termasuk empat pengganas, ramai peniaga jalanan kelihatan kembali berniaga di tempat kejadian tersebut, seolah-olah mereka langsung tidak pula terjejas.
Malah, setelah beberapa lama hashtag #KamiTidakTakut, merujuk reaksi rakyat Indonesia terhadap serangan berdarah itu menjadi viral, hashtag #KamiNaksir mengambil alih kedudukan teratas warga netizen tempatan.
#KamiNaksir itu popular digunakan ramai netizen wanita ‘dilamun cinta’ dek pegawai polis ‘ganteng’ atau kacak yang gagah berani, buru pengganas habis-habisan, hingga gambar-gambarnya itu tersebar luas di media sosial.
Media sosial menjadi heboh apabila ratusan ribu wanita serta juga ibu muda membincangkan tentang pegawai polis kacak yang dikatakan mirip watak superhero Clark Kent, kerana berbadan tegap dan segak berkaca mata.
Mulanya ramai netizen perempuan menyangka pegawai ganteng itu ialah Rino Soedarjo, sebelum media tempatan melaporkan lulusan Akademi Kepolisian pada 2003 lalu dan kini berkhidmat Polda Metro Jaya adalah orang lain.
Kesilapan itu menyebabkan ramai wanita bahkan gigih mencari identiti sebenar dan kehidupan peribadi si pegawai polis Indonesia tersebut yang akhirnya, beliau disahkan sebagai bernama Teuku Arsya Khadafi.
Beliau kini memegang jawatan Ketua Unit 3 Subdit Resmob Direktorat Reserse Kriminal Umum (Ditreskrimum) dan kerap juga tampil menerusi pelbagai laporan media Indonesia kerana sering mengendalikan kes-kes besar.
Namun, setelah identitinya berjaya dikenal pasti, ramai pula kaum Hawa yang berasa kecewa. Sebabnya – Teuku Arsya sebenarnya sudahpun beristeri dan mempunyai beberapa orang anak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA