BENARLAH seperti tajuk puisi malar hijau karya negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Melayu Mudah Lupa, isu kepimpinan UMNO Kedah desak ketua mereka berundur bukan luar biasa dari segi amalan politik.
Bagi yang sering mengamati hal ehwal siasah tanah air, sebenarnya ramai pemimpin UMNO pernah diundurkan sama ada secara kasar atau lembut bergantung kepada ‘tahap’ kerumitan sesuatu isu dan cara ia kena diuruskan.
Lihat sahajalah pada zaman Tunku Abdul Rahman Putra dahulu apabila Bapa Kemerdekaan itu ‘bergaduh’ besar dengan Menteri Pertanian, Abdul Aziz Ishak hanya kerana isu kilang baja dikuasai tauke Cina secara monopoli.
Ahli Parlimen Selangor Barat (kini Tanjong Karang) itu dipecat kerana memburukkan Perdana Menteri tersebut konon ada kepentingan dengan Cina lalu ‘marah’ apabila mahu mewujudkan kilang milik usahawan Bumiputera.
Abdul Aziz bukan keseorangan kerana selepas itu, ramai lagi pemimpin UMNO dibuang daripada parti sebab mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman termasuk Mahathir sendiri susulan tragedi berdarah 13 Mei 1969.
Hakikatnya ketika Mahathir memerintah Malaysia selama 22 tahun, lagi ramai pemimpin UMNO ‘dinyah keluar’ waima popular dalam kalangan rakyat dan lantang perjuang sesuatu isu sensitif yang cukup ditakuti beliau sendiri.
Mujur waktu itu belum ada lagi media sosial siber namun, tindakan tegas Mahathir menyebabkan pemimpin UMNO ibarat Pak Turut atau jika terlalu berani, siap sedialah disingkirkan dan dilabel sebagai pengkhianat parti.
Mungkin malu maruah jatuh dihina, ada antara mereka bawa diri ceburi bisnes, ada hijrah ke luar negara dan bagi yang jenis jiwa pemberontak, mereka nekad menubuhkan parti baharu pula seperti dilakukan Anwar Ibrahim.
Perkara ini waima diakui sendiri Mahathir dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan bukan pro-UMNO disiarkan pada 1 Jun 2015 dengan tajuk ‘Kalau Saya Jadi Najib, Saya Buang Orang Tak Sokong Saya.’
Malangnya, Melayu memang semula jadi ‘mungkin’ mudah lupa dan agak apologetik atau terlalu berkias meminta seseorang yang tidak disukai berundur secara hormat demi elak keadaan menjadi lebih buruk akhirnya.
Sebelum terlupa, barang kali ramai tentu terlupa bahawa Mahathir pernah desak Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur daripada jawatan Perdana Menteri dengan dakwaan konon pemimpin itu tidak digemari majoriti rakyat.
Mahathir ketika itu menjadi lebih pembangkang daripada pembangkang, malah pembangkang tidak perlu bekerja keras ‘guling’ Pak Lah kerana ramai pemimpin UMNO sendiri berubah jadi pembangkang dalam parti sendiri.
Benarlah Melayu mudah lupa. Taktik buang pemimpin tidak sehaluan bukan asing di luar negara, terbaharu lihat sahaja nasib bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott ditumbangkan majoriti pemimpin partinya sendiri.
Kes di negara ‘kanggaru’ itu menyerupai kemelut di Kedah apabila sebahagian besar kepimpinan UMNO negeri Jelapang Padi tersebut desak Mukhriz Tun Mahathir berundur jawatan Menteri Besar yang disandang sejak 2013.
Ini dikira cukup sopan walhal di Korea Utara misalnya, jika ada individu menentang kepimpinan, buruk padahnya, bukan sahaja si penentang dibunuh, hatta seluruh ahli keluarga, anak, cucu, cicit pun akan dihukum tembak mati.
Justeru, spekulasi konon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalang penyingkiran Mukhriz sebenarnya membuktikan inilah tradisi diamal setiap parti di dunia, bak kata Mahathir: ‘Siapa tidak sokong akan dibuang!‘
Maka apakah salah jika Najib hanya mengikut warisan ditinggalkan Mahathir yang menjadi rahsia beliau mampu berkuasa selama dua dekad waima dilanda pelbagai masalah besar iaitu ‘buang siapa yang tidak sokong ketua’.
Bahkan amalan ini juga dilakukan kebanyakan negara Islam termasuk Raja Salman yang memecat ramai menteri sebaik baginda menaiki takhta kerajaan Arab Saudi tahun lalu susulan kemangkatan kakandanya, Raja Abdullah.
Dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW sendiri pernah ‘buang’ panglima hebat cukup popular ketika perang masih berlangsung sebagai antara strategi politik dan turut diamalkan zaman sahabat selain khalifah-khalifah selepas itu.
Sekadar perbandingan, kes Mukhriz jauh ‘lebih sopan’ daripada kes bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim langsung dipecat partinya sendiri hanya kerana enggan akur serah jawatannya kepada seorang wanita.
Tanpa peluang bela diri, tokoh korporat terkenal itu malah dilayan cukup zalim oleh partinya sebab tidak mengikut arahan kepimpinan, namun Melayu sekali lagi mudah lupa, isu ini sekali lagi bukan pun cerita baharu politik!
– MYNEWSHUB.CC/HAA