KOTA KINABALU – Beberapa gambar menunjukkan puluhan seluar dalam wanita pelbagai corak dengan kondom ditempel di depan celana kecil seksi itu yang disidai di sejumlah batang pokok mencetuskan misteri di Sabah.
Ia memaparkan penemuan pakaian dalam kaum Hawa itu bergantungan menjadi viral menerusi laman Facebook tempatan, Penampang Bulletin dan ia didakwa muncul tiba-tiba di sepanjang laluan trek di Penampang dekat sini.
Orang awam kebetulan melalui denai berkenaan mula menyedari berdozen-dozen seluar dalam wanita dewasa dengan sarung kondom dilekatkan pada tengahnya itu selain sejumlah coli yang turut digantung di batang pokok.
Pegawai daerah Penampang, Luvita Koisun berkata, sepasukan anggota penguatkuasa tempatan diarah memeriksa keseluruhan kawasan tersebut selepas kisah pelik itu mula menjadi sensasi menerusi media sosial pada Khamis.
Wanita tersebut menambah, tempat penemuan pakaian dalam bersidaian itu terletak di belakang Kompleks Sukan Penampang dan mereka mendakwa, ada sebuah pondok kecil dekat situ tetapi tiada penghuni di dalamnya.
“Penduduk mendakwa melihat banyak seluar dalam wanita bersidai di beberapa pokok, namun tidak dapat kesan sesiapa di situ yang mungkin menjemur pakaian tersebut atau apa-apa petunjuk menarik,” kata beliau lagi.
Luvita menambah, pejabat daerah juga cuba mencari pemilik tanah persendirian di kawasan tersebut dalam usaha membantu siasatan pihak polis bagi mengenal pasti siapakah empunya puluhan seluar dalam seksi berkenaan.
Lebih menarik, mereka tertanya-tanya apa motif pakaian dalam itu digantung sedemikian rupa dan paling pelik, ia disidai dalam susunan corak yang sistematik sehingga sukar diterbangkan angin bertiup kencang di laluan itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Supritendan Rosley Hobden bagaimanapun ketika dihubungi pemberita berkata, mereka tidak menemui apa-apa ketika datang melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut.
“Tiada laporan rasmi mengenai penemuan banyak seluar dalam wanita yang bergantungan di sejumlah pokok, namun kami sedia menyiasat jika perkara itu betul-betul wujud,” ujar beliau. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA