TAIPING – Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah dipercayai heroin seberat 27 gram bernilai RM800 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Benggali, di sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harith Kam Abdullah berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menyerbu rumah itu pukul 3 pagi tadi.
Katanya ketika serbuan di rumah itu, terdapat empat lelaki berumur antara 30 hingga 40-an dan ujian air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah.
“Ketika pemeriksaan, polis menemui heroin seberat 20 gram di dalam poket seluar salah seorang suspek.
“Pemeriksaan lanjut menemui heroin seberat tujuh gram dan wang tunai RM2,000 di dalam rumah itu,” katanya dalam kenyataan.
Ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953. – BERNAMA