KEMAMAN – Empat sekeluarga melalui detik mencemaskan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dilarikan seorang lelaki tidak dikenali di Bandar Chukai Utama di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, wanita berusia 30-an bersama anak lelaki berusia dua tahun dan dua anak perempuan masing-masing berumur enam dan lapan tahun berada dalam Toyota Hilux berkenaan.
Namun semua mangsa kemudiannya ditinggalkan lelaki itu di tepi jalan tidak jauh dari tempat kenderaan berkenaan dilarikan.
Sebelum itu, mangsa bersama suami berusia 37 tahun dan lima anak mereka serta rakan suaminya yang juga pemilik pacuan empat roda berkenaan pergi ke sebuah pasar raya untuk membeli barang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim berkata sebaik tiba di pasar raya berkenaan suaminya bersama dua anak mereka serta rakannya turun dan meninggalkan kesemua mangsa dalam kenderaan itu dengan enjin dihidupkan dan tidak berkunci.
Katanya sebaik keluar daripada pasar raya itu, mereka mendapati Toyota Hilux yang diletakkan di hadapan pasar raya berkenaan hilang.
“Bagaimanapun kesemua mangsa yang dilarikan selamat selepas penjenayah meninggalkan mereka di tepi jalan tidak jauh dari lokasi mereka dilarikan,” katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.
Menurutnya gerakan memburu suspek bersama pacuan empat roda itu sedang giat dijalankan termasuk melakukan sekatan jalan raya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan samun dan suspek dipercayai melarikan diri dengan pacuan empat roda berkenaan menghala ke Kuala Terengganu.
Sementara itu, Mohd Said turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengunci kenderaan apabila meninggalkannya walaupun untuk tempoh singkat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.
“Jika terdapat penumpang, kenderaan tetap perlu dikunci dan tingkap dinaikkan bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku,” katanya.
Justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. – BERNAMA