SINGAPURA – Mereka secara kebetulan sedang menikmati sarapan pagi di sebuah pusat makanan awam di Causeway Point di sini, apabila melihat asap tebal berkepul dari salah sebuah gerai di medan selera itu.
Tanpa berfikir panjang, kelapan-lapan ‘Abang Bomba’ dari Balai Bomba Bukit Batok itu meninggalkan sarapan mereka malah bergegas ‘sahut’ panggilan tugas dan berjaya memadamkan kebakaran mengejut tersebut.
Peristiwa dramatik berlaku di kompleks beli-belah dekat Woodlands Square utara republik tersebut didedahkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerusi akaun rasmi Facebooknya pada 26 Januari.
Menurut laporan SCDF yang dipetik agensi berita tempatan MediaCorp, lapan anggota bomba tersebut segera memeriksa kawasan ruang masak gerai itu dan dimaklumkan oleh kakitangan bahawa dapur gas di situ terbakar.
‘Abang Bomba’ terdiri daripada seorang pegawai sepenuh masa dan tujuh anggota Perkhidmatan Negara SCDF itu kemudian bertindak pantas untuk mengendalikan situasi kecemasan yang memang tidak diduga tersebut.
Dua daripada mereka segera memindahkan para pekerja daripada ruang dapur yang terjejas sementara anggota bomba SCDF yang lain pula memindahkan orang awam di pusat makanan berkenaan ke tempat lebih selamat.
Mereka akhirnya berjaya memadamkan api dengan menggunakan hos dan pemadam api di pusat beli-belah setinggi sembilan tingkat dan mempunyai kira-kira 250 premis perniagaan itu daripada kebakaran besar.
Menurut SCDF lagi, oleh kerana kelapan-lapan anggota bomba itu bertindak dengan segera, hanya dapur gas terjejas oleh kebakaran kecil tersebut, malahan tiada sesiapa pun yang dilaporkan mengalami kecederaan.
SCDF menyatakan bahawa pihaknya turut berbangga atas tindakan pantas lapan anggota bomba berkenaan dan menyertakan hashtag #everydayheroes susulan insiden sensasi tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA