KUALA LUMPUR – Abu mayat mendiang Bernard Then Ted Fen, jurutera Malaysia yang dibunuh di Filipina tahun lalu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.50 petang Sabtu dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Wan Khalik Wan Mohamad berkata abu mendiang ditempatkan di Gereja St. Francis Xavier, Jalan Gasing, Petaling Jaya, dekat sini.
“Malam ini pihak keluarga mengadakan upacara keagamaan di gereja ini sebelum upacara penghormatan terakhir esok (Ahad) bagi keluarga dan rakan mendiang.
“Upacara sembahyang pula akan diadakan di gereja yang sama dan akan disemadikan di Subang Lutheran Garden, Subang Permai pada pukul 10 pagi Isnin,” katanya ketika dihubungi Bernama, Sabtu.
Khamis lepas, lima anggota keluarga mendiang Then diiringi Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah bersama Wan Khalik berlepas ke Manila, Filipina bagi menemani ibu bapa Then diupacara pembakaran mayat mendiang di Perkuburan Pasay City.
Bernard, dari Sarawak telah diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei tahun lalu bersama dengan pengurus restoran terbabit Thein Nyuk Fun, 50, oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai ada hubungan dengan kumpulan militan dari selatan Filipina.
Nyuk Fen dibebaskan oleh penculiknya pada 8 November sementara Bernard, 39, telah dipenggal kepalanya di suatu lokasi terpencil di Pulau Jolo, selatan Filipina pada 11 November. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]-MupqN1qTKY[/wpdevart_youtube]