TELUK INTAN – Pembinaan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Mukim Changkat Jong di sini perlu disegerakan bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana dan rendah memiliki kediaman, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.
Beliau berkata penyegeraan projek juga penting bagi menunaikan janji Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu.
Beliau berkata walaupun lokasi projek telah dikenal pasti, namun sehingga kini pembinaan 1,000 unit rumah yang dirancang masih tertangguh.
“Saya bimbang jika perkara ini masih tidak selesai, menjelang PRU akan datang, perkara ini akan memberi impak buruk,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khairat kematian kepada 33 waris penerima dari kawasan Parlimen Teluk Intan Khamis malam.
Selain itu Mohd Azhar mencadangkan supaya harga rumah PR1MA dikaji semula supaya menepati matlamat asal untuk membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah tercapai.
Katanya rumah PR1MA yang berharga anggaran antara RM200,000 hingga RM400,000 seunit tidak mampu dimiliki golongan berkenaan, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup semakin meningkat. – BERNAMA