AKTRES terkenal Mexico, Kate del Castillo yang menjadi orang tengah dalam mengatur pertemuan antara pengedar dadah yang paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat, El Chapo dengan pelakon Hollywood, Sean Penn, telah disiasat berhubung tuduhan terlibat dengan penggubahan wang haram.
Kate, yang bertukar-tukar mesej romantik dengan El Chapo ketika penjenayah itu melarikan diri tahun lepas, dikatakan menggunakan dana daripada lelaki itu untuk memulakan perniagaan minuman keras, Honor.
Bagaimanapun pihak berkuasa memaklumkan siasatan masih dijalankan dan setakat ini tiada pengesahan bahawa jenayah itu berlaku.
Manakala Kate pula masih belum mengulas mengenai siasatan itu. Namun dalam mesej di Twitternya minggu lepas, Kate menyelar pihak-pihak tertentu yang cuba mereka cerita.
Kate menjadi tumpuan media awal bulan ini selepas dia dikatakan menjadi pengantara dalam pertemuan antara penjenayah terbabit dengan Sean Penn untuk majalah Rolling Stone.
Pertemuan itu membawa kepada tangkapan El Chapo, yang melarikan diri daripada penjara bersekuriti tinggi, Altiplano pada bulan Julai tahun lepas.
El Chapo merupakan lelaki yang paling dikehendaki selepas membina empayar dadahnya yang bernilai berbilion-bilion ringgit di wilayah Sinoloa, Mexico.
Pada 1993, dia ditangkap dan dihumban ke penjara Altiplano sebelum melarikan diri pada 2001 dengan memberi rasuah kepada seorang pengawal penjara sebanyak $2.5 juta.
El Chapo berjaya mengelak daripada diburu polis selama 13 tahun sebelum ditahan semula pada Februari 2014 ketika berada di dalam sebuah hotel bersama isteri dan anaknya.
Lima bulan kemudian, dia melarikan diri sekali lagi melalui terowong bawah tanah yang menghubungkan tempat mandi dalam bilik penjaranya, dan pengawal pula menutup mata. – MYNEWSHUB.CC