KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu polis mengambil tindakan ke atas Menteri Wilayah dan Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana menyebarkan maklumat palsu tentang ancaman pengganas.
Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Tengku Adnan pada satu sidang media memaklumkan beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur telah menjadi sasaran pengganas.
“Kenyataan ini telah dinafikan oleh pihak polis sendiri.
“Ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan sehingga kini masih ramai yang menyebarkan kenyataan ini sehingga mengakibatkan keresahan orang ramai tentang perihal keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nik Nazmi berkata, pihak polis harus bertindak tegas terhadap Tengku Adnan jika mengambil serius tentang penyebaran maklumat dan berita palsu mengenai ancaman pengganas.
Tengku Adnan dalam sidang media di Putrajaya baru-baru ini menamakan tempat-tempat spesifik dan menjadi sasaran pengganas di ibu negara.
Antara tempat tersebut adalah Bangsar, Hartamas, Publika, The Curve, Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Menara KL. - MYNEWSHUB.CC