ALAHAI.. ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Jika si bapa melibatkan diri dalam dunia lakonan, anaknya pula berbakat dalam dunia nyanyian.
Begitulah bakat dimiliki anak Fauzi Nawawi iaitu Muhammad Fazreez Hazwan, 18, yang berjaya terpilih menjadi protege Hazama dalam program realiti Mentor Milenia.
Bercerita mengenai kejayaan anak keduanya itu, Fauzi berkata, ianya adalah hasil usaha remaja itu sendiri tanpa mengunakan gelaran anak selebriti.
Jelasnya, ini kerana Hazama tidak tahu menahu anaknya, Muhammad Fazreez atau lebih mesra disapa Fareez mencuba nasib dalam uji bakat program nyanyian tersebut.
“Fareez beratur sejak pagi lagi hingga ke malam untuk menjalani sesi uji bakat. Saya hanya menelefon Hazama sejurus selepas Fareez memaklumkan dia berjaya menjadi antara peserta pilihan penyanyi itu.
“Saya berbangga kerana kejayaan Fareez itu adalah hasil titik peluh dirinya sendiri. Dia tidak meminta bantuan sesiapa atau menggunakan jalan pintas untuk mengejar cita-citanya sebagai penyanyi,” katanya kepada BH Online.
Tambah Fauzi, anaknya sangat gemar berkaraoke pada masa lapang dan sejak itu, dia mula mengesan bakat yang dimiliki Fareez.
Pada masa yang sama, Fareez mengakui sangat meminati Hazama sejak dulu lagi.
“Selain mempunyai vokal yang mantap, beliau seorang yang kelakar dan bersahaja. Sebagai sifu pula, abang Hazama bijak mengatur strategi dan membimbing tanpa memberikan sebarang tekanan,” kata Fareez.
Selain Hazama, Mentor Milenia turut menampilkan Azlan, Black dan Akim. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Berita Harian