CANBERRA – Beberapa foto menunjukkan seekor anak kanggaru dengan tangan, kaki dan ekor dibalut setelah diselamatkan dari kebakaran belukar di Australia, meraih simpati ramai setelah dimuat naik ke laman Facebook.
Ia antara ratusan haiwan dirawat oleh pasukan khidmat jagaan kecemasan setelah siri kebakaran hutan belukar dahsyat marak di barat Australia bulan ini, sehingga menjejaskan sebahagian besar tempat tinggal mereka.
Gambar-gambar menyayat hati itu dimuat naik ke akaun Facebook milik Klinik Haiwan Waroona di Yarloop yang menawarkan perkhidmatan jagaan 24 jam bagi haiwan cedera dalam kebakaran tersebut pada awal bulan ini.
Jurucakap klinik itu memberitahu akhbar Daily Mail, anak kanggaru berkenaan terselamat daripada maut meskipun mengalami kelecuran teruk sebahagian besar tubuhnya dan hanya berjaya diselamatkan minggu ini.
Selain anak-anak kanggaru yang mengalami kelecuran pada kaki dan tangan, beberapa ekor haiwan liar lain turut dirawat oleh petugas perkhidmatan kecemasan tempatan susulan kebakaran dahsyat itu.
Antaranya posum dengan sebahagian ekornya terbakar, seekor kucing yang mengalami dehidrasi dan demam, serta burung-burung hutan juga ditemui kurus kering akibat masalah kekurangan air dalam badan.
Seorang pengguna Facebook menulis: “Terima kasih kepada semua doktor haiwan yang bertungkus lumus bantu rakan-rakan haiwan kami, apalah yang akan terjadi kepada haiwan-haiwan kalau tidak dibantu mereka.”
Antara doktor haiwan yang sanggup datang sejauh 3,060 kilometer dari ibu kota Australia, Canberra ke Yarloop untuk mencari haiwan-haiwan yang cedera dalam kebakaran belukar terburuk itu ialah Dr. Rebecca Flegg.
Dia memberitahu Daily Mail, pihaknya berharap mampu merawat haiwan-haiwan tersebut agar mereka dapat kembali semula ke habitat asal tempat kediaman mereka di hutan luas.- Agensi/Mynewshub.cc/HAA
(Gambar-gambar: Facebook/Klinik Haiwan Waroona)