KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat di seluruh negara membuat pelbagai persediaan termasuk memastikan semua aset berada dalam keadaan baik bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka melanda sehingga Mac depan.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Norazam Khamis berkata pihaknya menempatkan lima unit ‘Prime Mower Water Tanker’ berkapasiti 20,000 liter di lokasi strategik seperti Nilai, Seremban 2, Simpang Pertang, Rembau dan Gemas.
“Kami juga ambil langkah menambah anggota. Tahun lepas kami tempatkan 52 anggota di balai di Jelebu, Bahau, Gemas dan Rembau. Dua pasukan bomba sukarela ditambah menjadikan 17 pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan hari ini.
Beliau berkata Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) Bomba juga ditempatkan di sembilan balai antaranya di Nilai, Seremban dan Port Dickson yang berfungsi memberi bantuan kepada anggota sekiranya tercedera semasa operasi.
Katanya bermula 1 Jan lepas, mana-mana balai bomba yang mempunyai jadual kerja 24 jam ditukar kepada 12 jam bagi memastikan anggota mempunyai rehat mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Di PERAK, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memberi tumpuan kepada kemahiran menggunakan peralatan khusus menghadapi kebakaran hutan kerana bentuk muka bumi di Perak yang bergunung-ganang agak menyukarkan operasi pemadaman selain sumber air yang terhad.
Pengarahnya Datuk Yahya Madis berkata Perak mempunyai jumlah anggota dan peralatan mencukupi untuk menghadapi kebakaran terutama di kawasan berisiko ketika cuaca panas dan kering akibat fenomena itu.
Beliau berkata pihaknya membuat pelbagai persediaan termasuk memastikan semua aset berada dalam keadaan baik selain turut merangka strategi bagi menghadapi El Nino yang dijangka melanda sehingga Mac depan.
Ketahanan mental dan fizikal anggota menjadi keutamaan kerana mereka perlu bekerja siang dan malam,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tahunan 2016 jabatan itu Selasa.
Mengulas lanjut, Yahya berkata sehingga kini kes kebakaran di Perak berada pada tahap terkawal kerana masih menerima taburan hujan.
Kebakaran terbuka masih berlaku disebabkan sikap orang ramai gemar membakar sampah dan kayu-kayu di ladang dengan pihak industri seperti kilang-kilang membakar sisa buangan, katanya.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka ketika fenomena El Nino.
“Walaupun memadam kebakaran merupakan tugas hakiki bomba, namun mereka yang sengaja membakar perlu memadam kebakaran sendiri. Jika tidak mereka boleh didakwa di bawah Akta Alam Sekitar 1974 kerana melakukan kebakaran,” katanya. – BERNAMA