Pendaki Wanita Negara, Siti Hanisah Sharuddin, 26, meneruskan misi pendakiannya untuk menjejakkan kaki ke tujuh puncak gunung tertinggi di tujuh benua dunia.
Ketika ini, Siti Hanisah atau lebih dikenali sebagai Anis, sedang mendaki Gunung Aconcagua, Argentina, iaitu puncak tertinggi di Benua Amerika Selatan dengan ketinggian 6,962 meter.
Pendakian Anis di bawah kelolaan Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) dan turut mendapat sokongan tajaan daripada IM4U.
Beliau sebelum ini mencatat nama dengan memegang rekod sebagai pendaki Everest Malaysia Termuda menawan puncak tertinggi di dunia itu pada tahun 2013 pada usia 23 tahun.
Anis kini dalam misi dinamakan KE7B Srikandi 7 Benua iaitu misi untuk menjadi pendaki wanita Malaysia pertama mencapai puncak 7 gunung tertinggi di 7 benua.
Beliau sebelum ini telah berjaya menawan puncak tertinggi di benua Afrika iaitu Gunung Kilimanjaro, Puncak Elbrus di Benua Eropah, Puncak Kosciuzco di Benua Australia selain Gunung Everest di Benua Asia.
Menurut Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, Anis dijangka tidak menghadapi masalah untuk ke puncak Aconcagua berdasarkan persiapan dan latihan yang berterusan yang dilakukannya.
“Anis kini hanya perlu fokus kepada tiga lagi puncak gunung iaitu McKinley di Benua Amerika Utara, Vinson Massif di Benua Antartika dan Aconcagua untuk melengkapkan misinya dan bakal mencipta satu lagi sejarah untuk Negara ini dimana Malaysia juga mampu melahirkan seorang pendaki wanita yang berjaya menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia,” katanya.
Turut bersama mengiringi pendakian Anis ke puncak Aconcagua ialah seorang pendaki dari Johor iaitu Mohd Khafiz Bachok.
Berikut adalah catatan perjalanan Anis ke puncak Aconcagua.
29 Disember 2015 – Hari Selasa. Kami berada di Penitentes (2555m) selepas menempuh perjalanan 200km dari Mendoza, sebuah bandar yang terletak di barat Argentina. Selepas 5 hari perjalanan dari Kuala Lumpur pada 24 Dec akhirnya kami akan memulakan pendakian pada hari esok dari Puente Del Inca (2,725 meter) menuju ke Kem Confluencia (3,300 meter) iaitu kem pertengahan menuju Kem Induk di Plaza De Mulas (4,260 meter).
Di Confluencia kami akan melakukan program penyesuaian diri dengan ketinggian iaitu dengan perjalanan singkat ke Kem Plaza Francia (4,000 meter) iaitu dari Kem Induk untuk pendakian dari arah selatan.
Jalur Pendakian kami ialah menggunakan laluan Utara Aconcagua. Kami akan bermalam selama 2 malam dan meneruskan perjalanan ke Plaza De Mulas (4,260 meter) pada 1 Januari 2016.
Dari Plaza De Mulas sekali lagi kami akan melakukan program penyesuaian diri dengan ketinggian dengan mendaki Gunung Bonete (5,091 meter) dan trekking ke Horcones Glasier.
Kami akan berehat sebelum pendakian sebenar pada 6 Januari 2015 ke Kem 1 atau dikenali sebagai Canada Camp (4,910 meter), Kem 2 dikenali sebagai Nido de Cóndores pada ketinggian (5,250 meter) dan kemudian mendaki ke Kem 3 iaitu BerlÃÂn – Cólera Camp (5,900 meter).
Dari Kem 3 kami akan mendaki puncak Aconcagua (6,962 meter) yang dijadualkan pada 14 Januari 2016.
Pasukan ini diketuai oleh jurupandu Cappi Claudio dan Bettiana dari Argentina, pendaki dari Malaysia Siti Hanisah Sharuddin dan Mohd Khafiz Bachok, pendaki dari Norway iaitu Guy, Tor dan Anne, Pandaki dari Itali Lorry, seorang pendaki dari United Kingdom bernama Nigueal dan Micheal dari Austria. Jumlah keseluruhan pendaki ialah 8 orang.