TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau hari ini menggagalkan cubaan menyeludup masuk 31 tan buah kelapa sawit dipercayai dari Indonesia yang dianggarkan bernilai RM7,750 menggunakan bot ke daerah ini.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tawau (KPMD), Kapten Maritim Anor Jaafar berkata buah kelapa sawit itu dirampas dari dua buah bot jongkong yang datang dari negara jiran itu di perairan Sungai Melayu kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Katanya Anggota APMM yang menjalankan rondaan di sekitar perairan itu melihat bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati jongkong berkenaan membawa buah kelapa sawit kira- kira 31 tan.
“Dua juragan jongkong bersama seorang lagi awak-awak berusia dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan ekoran gagal menunjukkan sebarang dokumen yang membolehkan buah kelapa sawit itu dibawa masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata seorang awak-awak turut ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Anor berkata APMM akan terus meningkatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan buah kelapa sawit yang dipercayai dari Indonesia untuk pasaran daerah ini.
Jelasnya, kerjasama orang awam dalam melaporkan aktiviti penyeludupan itu dapat membantu menangani sebarang kes penyeludupan di daerah ini. – BERNAMA