BAGAIKAN kebetulan, tanggal 8 Februari ini bukan sahaja bakal melakar sejarah bahagia dalam hidup Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin.
Tetapi juga buat pelawak Atu Zero yang bakal mengakhiri zaman solonya dengan pereka fesyen, Shafeeqa Johari, 30.
Menurut Atu atau nama sebenarnya, Sharid Kunal Bin Doli Sharif, 24, majlis pernikahan itu akan diadakan di kediaman pengantin perempuan di Batu Pahat, Johor.
“Alhamdulillah, kami berkenalan hampir setahun dan keluarga saya datang merisik pada Hari Raya tahun lalu. Kami bersetuju memilih tarikh 8 Februari kerana cuti Tahun Baharu Cina.
“Lagipun keluarga serta kawan-kawan boleh datang. Majlis di kampung saya di Sabah mungkin akan dibuat selepas rumah kami siap sepenuhnya nanti,” ujarnya.
Tambah Atu, majlisnya itu bakal diadakan secara sederhana yang akan dihadiri keluarga terdekat dan rakan-rakan.
Majlis ijab kabul pasangan ini akan diadakan pada sebelah pagi, manakala majlis resepsi akan diadakan pada sebelah petang pada hari yang sama.
Bercerita mengenai gadis pilihannya itu, Atu memberitahu Shafeeqa,30, merupakan individu yang sangat memahami dengan kerjayanya sebagai anak seni dan tidak terlalu memandang kepada darjat.
“Dia daripada keluarga berpendidikan, bapanya seorang bekas jurutera dan ibunya pegawai bank, namun menerima saya yang tiada apa-apa ini.
“Kalau diikutkan ramai lagi lelaki yang lebih berpelajaran yang mahukan dia, tapi inilah mungkin dikatakan jodoh,” katanya.
Difahamkan, Shafeeqa, 30; memiliki sebuah butik Sastera Hijab di Shah Alam.
Pasangan ini dikatakan sudah berkenalan sejak setahun lalu. – MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=TsSaNtPdPHs]