SEPERTI diketahui umum pasangan selebriti Shuib Sepahtu dan Siti Sarah Raissuddin selamat menimang cahaya mata ketiga pada 20 November lalu.
Namun secara kebetulan, pelawak terkenal itu sedang sibuk dengan tugasnya sebagai penyampai radio Sinar FM, menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 2 dan bertanding dalam bersama Mark Adam.
Keadaan itu sekaligus membuatkan Shuib tiada masa untuk berada di samping isterinya ketika berpantang.
Namun bagi Siti Sarah, dia mengakui terpaksa mengalah dengan hal itu kerana memahami keadaan Shuib yang sedang sibuk mencari rezeki untuk keluarga.
“Bagi isteri yang baru sahaja bersalin dan melahirkan anak, pastinya dia memerlukan sokongan keluarga dan suami. Tetapi saya harus mengalah kerana Shuib sangat sibuk dengan kerjaya, malah tiada masa untuk diri sendiri.
“Saya faham keadaan Shuib tetapi perkara itu membuatkan saya sedih dan sedikit tertekan kerana kasihankan dia. Saya sendiri tidak boleh berbuat apa-apa untuk suami kerana sedang dalam pantang. Saya hanya boleh bertanya sama ada dia okay atau tidak. Saya perlu memahami keadaan Shuib yang sibuk mencari rezeki untuk kami sekeluarga.
“Ketika sedang berpantang di kampung dia pernah mesej meminta maaf. Dia luahkan rasa sedih kerana dirinya sangat sibuk. Saya balas mesej Shuib mengatakan faham dengan apa yang dilaluinya,” kata Siti Sarah.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Bin Muhamad mendirikan rumahtangga dengan Siti Sarah pada tahun 2011 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: ASTRO GEMPAK