PELAKON Jennifer Lawrence dikecam akibat tindakan biadapnya menegur seorang wartawan yang bertanyakan soalan kepadanya semasa sidang media bersama pemenang anugerah Golden Globe 2016, semalam.
Sidang media itu diadakan di Hotel Beverly Hilton, Los Angeles sejurus berakhirnya malam gala acara anugerah gilang-gemilang tersebut.
Pelakon yang berjaya merangkul anugerah Best Actress in a Musical or Comedy Motion menerusi filem Joy ini dikatakan berlaku biadap kepada wartawan E! dari Mexico, Juan Pablo Fernandez-Feo kerana wartawan terbabit bertanyakan soalan tanpa melihat kepadanya tetapi skrin telefon bimbit di tangan.
Jennifer, 25, dalam sidang media tersebut dianggap telah memalukan wartawan tersebut dengan ayat sinisnya, “You can’t live your whole life behind your phone bro. You’re just not gonna… You can’t do that. You gotta live in the now”.
Pablo terus dimalukan Jennifer selepas dia mengulangi soalan, “How do you see yourself for the Oscar night?” apabila Jennifer terus mencelah dengan menjawab, “We are at the Golden Globes, if you put your phone down, you’d know that.”
Insiden tersebut menyebabkan Jennifer dikritik dan dikecam para peminatnya yang berasakan dia tidak patut berkata demikian dan harus menghormati wartawan tersebut.
Ini kerana Bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertuturan harian wartawan tersebut justeru dia harus merujuk kepada telefon bimbitnya sewaktu bertanya soalan.
Diharapkan Jennifer Lawrence akan berhati-hati dengan tindakannya selepas ini bagi mengelakkan dia mengulangi kesilapan sama. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Daily Mail
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=D_FZ-0wO0mQ]