IBU mana yang tidak cemas apabila anak yang baru berusia 8 tahun tiba-tiba tak pulang dari sekolah seperti biasa tanpa diketahui puncanya.
Apatah lagi, kes kanak-kanak hilang akibat diculik dan sebagainya bukan lagi kisah ganjil didengar pada zaman sekarang.
Begitulah kerisauan dirasai seorang ibu, Hazrin Noor, 32, apabila mengetahui anaknya Aisya Maisarah Mohd Ridzuan hilang sejurus selepas pulang dari sekolah kira-kira pukul 1 petang tadi.
Hal itu membuatkan, ibu kepada tiga cahaya mata ini bertindak menyebarkan berita kehilangan anaknya menerusi aplikasi WhatApps dan media sosial.
Menurut Hazrin, kebiasaannya Aisya akan menunggu suaminya berdekatan pondok pengawal keselamatan sekolah namun hari ini, anaknya gagal dikesan meskipun puas dicari.
“Kami ada bertanyakan kepada pengawal keselamatan. Menurut mereka, anak saya ada memberitahu ingin menaiki sebuah van sekolah.
“Hal itu membuatkan hati saya bertambah runsing sebelum kami membuat keputusan untuk melaporkan kejadian kepada pihak polis,” ujarnya ketika dihubungi Mynewshub.
Difahamkan, Hazrin membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam Selangor kira-kira jam 4 petang.
Bagaimanapun, teka-teki kehilangan murid Darjah Dua itu terjawab apabila Aisya menghubungi sendiri ibunya bagi memaklumkan dirinya berada di rumah rakan sekelasnya yang dikenali sebagai Amber kira-kira pukul 4.50 petang tadi.
Kata Hazrin, keluarga Amber menyangka anaknya telah mendapat kebenaran ibu bapa untuk datang ke rumah mereka.
Apa-apa pun, Hazrin meluahkan rasa syukur kerana anak perempuannya itu ‘hilang’ bukan atas sebab yang dikhuatiri oleh dirinya. – MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=Abngs19ipwk]