KUALA LUMPUR – DAP memberi jaminan Pakatan Harapan tidak akan melepaskan kuasa memerintah negara jika parti itu dan Pakatan Harapan ditakdirkan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberi jaminan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (yang didominasi oleh DAP) tidak akan menjadi kerajaan selama satu penggal sahaja.
“Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan tidak mahu menjadi kerajaan satu penggal sahaja tetapi akan terus mendapat mandat dalam pilihan raya berikutnya.
“Kami akan menjadi lebih baik dalam menjaga hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pakatan Harapan dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang berkubur pada Ogos tahun lalu disebabkan pergeseran dengan PAS dalam beberapa isu agama.
Kit Siang dalam pada itu memberi jaminan hak dan kepentingan setiap kaum di Malaysia akan dilaksanakan mengikut asas Perlembagaan Negara jika Pakatan Harapan memerintah negara.
Katanya, bersandarkan jaminan itu maka tidak timbul kaum Melayu akan kehilangan kuasa politik jika DAP dan Pakatan Harapan menang PRU14.
“Pakatan Harapan akan menegakkan Perlembagaan Negara serta menjaga hak dan kepentingan setiap kaum. Oleh itu tidak timbul persoalan Melayu atau Islam dalam ancaman,” dakwanya. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]ZDvf8MU89o0[/wpdevart_youtube]