LEGENDA muzik terkenal, David Bowie meninggal dunia akibat penyakit kanser yang menyerangnya sejak 18 bulan lalu.
Berita ini disahkan anaknya, Duncan Jones, di laman Twitter sebelum berita sama disebarkan menerusi laman Facebook rasmi David Bowie.
Penyanyi ini baru sahaja melancarkan album terbaharu, Blackstar, bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-69 pada Jumaat lepas.
David Bowie, 69, merupakan penyanyi bertaraf legenda yang popular menerusi beberapa lagu hit antaranya Let’s Dance, Space Oddity, Heroes, Starman dan China Girl.
Selain menyanyi Bowie juga dikenali sebagai pelakon versatil menerusi penampilannya dalam filem The Hunger, The Prestige, Labyrinth, Just A Gigolo dan banyak lagi.
Penyanyi ini bertemu jodoh dengan Angie Bowie, isterinya yang pertama pada 1970 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Duncan Jones pada 1971.
Bowie bertemu jodoh kali kedua dengan supermodel terkenal dari Somalia, Iman, pada 1992. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Alexandria Lexi Zahra Jones.
Sepanjang kariernya, album Bowie pernah terjual sebanyak 140 juta unit seluruh dunia termasuk 9 daripadanya menerima anugerah platinum. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: People Online
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=ixwBsq7udnc]