TAPAH – Polis Tapah menahan dua beradik dan merampas 30 kilogram (kg) daun ketum serta 27 bungkusan air rebusan daun itu yang bernilai kira-kira lebih RM1,000 di sebuah kediaman di Jalan Temoh di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliau berkata penahanan kakak dan adik masing-masing berusia 40 dan 26 tahun itu dilakukan pada jam 12.30 tengah malam tadi oleh sepasukan polis berikutan pihaknya telah menahan seorang lelaki memiliki sebungkus air ketum di kawasan Pasar Ayam, Pasar Awam Tapah 11.15 malam tadi.
“Bertindak atas maklumat hasil soal siasat ke atas tangkapan berusia 26 tahun itu, kita telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah rumah beralamat No 80 Taman Bukit Hijau, Jalan Temoh.
“Ketika serbuan, kedua-dua suspek itu sedang memasak daun ketum di dapur dan hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui peralatan-peralatan berkaitan aktiviti memproses air ketum termasuk di tandas rumah serta menemui bungkusan air ketum, lima kg daun ketum yang belum diproses dan 25kg daun ketum yang telah direbus,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Som Sak berkata siasatan awal mendapati adik lelaki berusia 26 tahun itu yang mempunyai rekod polis bersabit kes daun ketum itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dipercayai membantu kakaknya menjalankan kegiatan itu dipercayai sejak Ogos tahun lepas.
Dua beradik itu dipercayai mendapat bekalan daun ketum bernilai RM30 setiap satu kg itu di sekitar Sungkai dan Tapah manakala menjual bungkusan 500 ml air daun ketum itu dengan harga RM10 setiap bungkusan, katanya.
Ujian saringan awal polis ke atas kedua-dua suspek mendapati dua beradik itu negatif dadah.
Katanya kedua-dua suspek ditahan reman selama satu hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]s4PLpro72dU[/wpdevart_youtube]