LUNDU – Dua pekerja lelaki Lembaga Pelindungan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (Salcra) maut dalam nahas melibatkan sebuah lori dan kenderaan jenis pacuan empat roda berdekatan Kampung Sebigo di Jalan Lundu- Sematan di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata dua mangsa yang maut merupakan penumpang dan pemandu kenderaan empat roda terbabit yang dikenali sebagai Duda Lazi, 59, berasal dari Kampung Setunggang Dayak, Lundu dan Goeng Nyaw, 49, berasal dari Kampung Jagoi Serasot, Bau.
“Kemalangan sekitar jam 10 pagi itu berlaku apabila kedua-dua kenderaan tersebut yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu bertembung,” katanya.
Menurut Farhan, ketika pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu tiba di tempat kejadian didapati dua mangsa terperangkap dan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan, manakala seorang lagi penumpang (belakang) terselamat.
“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans, tetapi disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik,” kata Farhan.
Katanya mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lundu untuk bedah siasat dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.
Pemandu lori terlibat bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA