ASALNYA pada Januari 2015, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,000 setelah mendapati aktivis pembangkang, Hishamuddin Rais bersalah menghasut orang ramai menggulingkan kerajaan.
Namun pihak pendakwa membuat rayuan agak hukuman lebih berat dikenakan. Akhirnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memutuskan terima rayuan dan kenakan hukuman sembilan bulan penjara.
Hishamuddin didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika berucap secara terbuka pada 13 Mei 2013 dalam satu forum politik anjuran badan bukan kerajaan propembangkang di Kuala Lumpur.
Dia yang kini berusia 64 tahun didakwa menghasut orang ramai agar turun ke jalan raya bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional yang baharu sahaja memenangi pilihan raya umum pada Mac 2013.
Turut menjadi panel di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor itu ialah Tian Chua, Tamrin Ghafar, Adam Adli Abdul Halim, Haris Ibrahim dan Safwan Anang yang bakal didakwa atas kesalahan hasut.
Persuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hasan yang membuat keputusan itu berkata, ucapan Hishamuddin mengajak orang ramai turun ke jalan guling kerajaan adalah satu jenayah yang amat serius.
Hukuman tersebut bagaimanapun ditangguhkan sementara sehingga proses rayuan dibuat oleh pihak pembelaan pada peringkat Mahkamah Rayuan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA