TERENGGANU – Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang dibina di Batu Burok, dengan kos RM184 juta bakal memulakan operasinya Oktober ini.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata bangunan setinggi lapan tingkat yang didirikan di atas tanah seluas 8.4 ekar itu telah siap hampir 97 peratus dan ia akan menggantikan Hospital KTS lama di Jalan Kamaruddin, di sini.
Beliau berkata dengan adanya hospital pakar yang dilengkapi peralatan moden dan canggih, rakyat Terengganu tidak perlu lagi mendapatkan rawatan pakar di luar Terengganu sekali gus dapat mengurangkan kesesakkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Apabila mula beroperasi kelak, hospital KTS ini akan menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan lebih komprehensif dan mampu menampung lebih ramai pesakit dengan lebih banyak klinik pakar dengan teknologi terkini serta kemudahan moden.
“Kini mereka mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan rawatan dan bagi mereka yang berkemampuan mungkin boleh mendapatkan rawatan dan kemudahan di hospital baharu ini. Kita juga harap dapat menyelesaikan isu kesesakan yang berlaku di HSNZ,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di hospital tersebut, hari ini.
Tambah Ahmad Razif, antara kemudahan yang disediakan di hospital itu ialah sebanyak 130 buah katil pesakit, lima buah dewan bedah, lima buah bilik bersalin, satu makmal ujikaji, satu unit rawatan rapi dengan 12 buah katil, satu unit rawatan rapi bayi dengan 19 buah katil dan 25 klinik.
Katanya dengan pembinaan hospital baharu tersebut juga, banyak peluang pekerjaan dapat mewujudkan.
“Di samping itu, mereka juga dapat menimba kemahiran dan pengalaman melalui latihan dalam pelbagai bidang perubatan yang disediakan di hospital ini,” katanya.
Hospital KTS adalah milik anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad dan hospital yang sedia ada sekarang hanya mempunyai 33 buah katil dan tidak mampu untuk menampung pertambahan bilangan pesakit.
Selain di Terengganu, TDM Berhad turut memiliki tiga lagi hospital iaitu Kuantan Medical Centre (KMC) di Pahang, Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dan Taman Desa Medical Centre (TDMC) di Lembah Klang. – BERNAMA