ISTANBUL – Seorang imam masjid di Turki dipuji ramai dan jadi terkenal menerusi media sosial kerana sering buka pintu masjid untuk membenarkan kucing jalanan masuk berlindung daripada musim sejuk.
Menurut laporan akhbar tempatan, Daily Sabah, Mustafa Efe, imam Masjid Aziz Mahmud Hayi dikatakan cukup terkenal bukan sahaja sebagai seorang rajin dan gemar berjenaka, tetapi juga sayang dengan kucing.
Imam tersebut malah memuat naik banyak gambar menunjukkan pelbagai kucing itu melalui laman Facebooknya, yang antaranya menunjukkan beberapa ekor kucing berada di dewan solat, dan beliau sendiri mengusap kucing.
Gambar-gambar itu sudah tersebar luas di seluruh dunia dan menerima banyak pujian khasnya daripada pencinta kucing antarabangsa, dengan seorang pengguna Facebook tempatan, Rachel Mellor, turut menulis komen.
“Belas ihsan sungguh luar biasa. Semoga Tuhan berkati anda dan semua rakan anda yang buka hati anda kepada haiwan-haiwan ini iaitu binatang comel kesayangan baginda Rasulullah SAW sendiri,” kata Rachel.
Beberapa netizen juga memuat naik gambar kucing ‘berlindung’ di masjid itu, termasuk gambar kucing bermain dengan tasbih dan kucing yang duduk diam dalam kalangan jemaah yang sedang khusyuk menunaikan solat.
Mustafa turut memuat naik rakaman video yang menunjukkan seekor kucing betina dewasa sibuk mengendong empat ekor anak kecil mamalia itu dengan mulutnya sambil berlari laju masuk ke dalam masjid tersebut.
Beliau menulis: “Inilah tetamu masjid kami pada hari Jumaat, satu kejutan semasa khutbah hari ini. Anak-anak kucing ini sudah menemui nadi kasih sayang dan belas kasihan.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA