ALOR SETAR – Empat warga Thailand yang cuba keluar ke Thailand ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah semasa
pemeriksaan di laluan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata dua lelaki serta dua wanita warga Thailand berumur 22 hingga 24 tahun itu ditahan pada 4 petang semasa pemeriksaan dibuat di laluan keluar penumpang ke Thailand.
“Hasil pemeriksaan, pegawai Imigresen yang bertugas mendapati pas sempadan Thailand milik mereka semua telah dibatalkan dan mereka masuk ke Malaysia melalui laluan ICQS Padang Besar, Perlis pada 28 Jan lalu.
“Siasatan lanjut mendapati mereka bekerja sebagai penoreh getah di Malaysia. Semua ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pind.2002) kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Yusri berkata kesemua yang ditahan itu ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA