IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah institusi media wajib berpegang kepada prinsip kebenaran manakala para petugas pula menyempurnakan amanah serta tanggungjawab dengan hati dan iman yang penuh takwa.
Baginda bertitah laporan berita yang menjunjung prinsip kebenaran, keadilan, ketepatan dan kesahihan adalah penentu kepada kredibiliti serta integriti sesebuah institusi media.
“…bahawa fakta yang tepat itu suci sifatnya, murni kandungannya,” titah baginda ketika merasmikan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah siap dibina pada Mei 2007 dan menempatkan seramai 100 kakitangan Jabatan Penyiaran perak dan 60 warga Jabatan Penerangan Perak.
Ia turut mempunyai sebuah auditorium yang mampu menampung 500 orang dalam satu-satu masa.
Sultan Nazrin bertitah media merupakan pengungkil atau mekanisme penting yang boleh mempengaruhi arah haluan dunia berdasarkan kebijaksanaan pengamal dan pemilik media.
Titah baginda aliran berita, pemilihan berita, pengolahan berita dan pewarnaan berita mampu mencorakkan pandangan, pemikiran, persepsi serta tanggapan dalam kalangan rakyat.
“Kepentingan umum wajib diutamakan dan lebih penting hendaklah dipastikan kredibiliti institusi negara dan integriti institusi negara tidak dikompromikan kerana kepentingan jangka pendek,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah media rasmi negara hendaklah menjadi penanda aras dalam mengamalkan etika pengolahan berita yang seimbang lagi autentik.
Pada masa sama, ia berfungsi sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan selain menjadi mekanisme penting untuk mengukuhkan demokrasi, titah baginda.
“Pengolahan berita yang keterlaluan memihak, memutihkan yang hitam dan menghitamkan yang putih, tidak memberi manfaat serta bersifat ‘counter productive’.
“Jika dilakukan secara keterlaluan oleh institusi media rasmi negara, dibimbangkan perbuatan sedemikian, pada akhirnya semakin memisahkan rakyat dengan kerajaan,” titah baginda.
Sultan Nazrin beritah dunia sedang menyaksikan perkembangan demokrasi digital, warga siber serta e-kerajaan dan warga dunia kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
Titah baginda warga dunia kini berada dalam posisi yang memiliki kelebihan untuk melakukan perbandingan serta bersifat lebih analitis dan kritis terhadap sesuatu laporan atau kenyataan.
“Maklumat kini tidak lagi terbatas kepada sumber yang ditapis dan dikawal oleh pihak berkuasa, titah Sultan Nazrin.
Titah baginda media baharu kini bukan sahaja semakin berada di pentas utama, sebaliknya semakin memperlihatkan peranan mencanai minda dan mempengaruhi pendirian warga di serata dunia
“Era institusi penyiaran milik negara berada di puncak tertinggi telah sampai ke ruang senja, malah kredibiliti agensi media dan komunikasi milik negara semakin dipertikaikan,” titah baginda. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]9iHIvTujnLY[/wpdevart_youtube]