SETELAH lebih setahun tragedi MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine berlalu, akhirnya barang-barang peribadi mangsa yang terlibat akan dikembalikan kepada pewaris atau keluarga.
Menurut balu kepada juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, Mariyam Yusoff, serahan barang itu akan dibuat pada petang ini.
“MAS ada call beritahu yang mereka ada terima barang-barang milik arwah dari Belanda.
“Saya diberitahu nanti ada seorang kapten MAS yang juga rakan arwah dan mungkin seorang lagi wakil MAS akan datang ke rumah untuk menyerahkan barang itu petang ini,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini mengakui perasaannya bercampur-baur dan sebak apabila dimaklumkan bakal menerima barangan peribadi milik suaminya ketika mengendalikan pesawat yang terbabit.
“Selama ini saya sering mendoakan keberkatan dan kesejahteraan arwah. Saya juga selalu menatap gambar-gambar dia bagi mengubat kerinduan, seolah-olah dia ada di sisi saya.
“Bila nak terima barang ni rasa sebak pula sebab hakikatnya dia sudah lama meninggalkan kami anak-beranak selama setahun enam bulan. Saya tak pasti macam mana rasanya nanti.
“MAS hanya beritahu saya barang-barang itu disimpan di dalam kotak. Saya hanya boleh bayangkan mungkin baju-baju arwah yang dibawa untuk berlepas ke Amsterdam pada 15 Julai, beberapa hari sebelum nahas.
“Bagaimanapun, saya kena tunggu anak saya Wan Yunus pulang bercuti dari sekolah asrama esok (Jumaat). Saya hendak buka kotak itu nanti bersama kedua-dua anak saya, anak arwah juga,” katanya.
Hasil perkahwinan pasangan ini mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Wan Yunus Uzair, 13, dan Wan Yusuf Irfan, 11.
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dilaporkan terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine ketika sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai dua tahun lepas. – MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=KDiLEyT9spI]