TEKA-TEKI tindakan pelakon Arja Lee memuat naik video sensasi mempamerkan dirinya mengenakan seluar dalam menerusi laman Instagram akhirnya terjawab.
BACA: Arja Lee Muat Naik Video Pakai Seluar Dalam?
Menurut pengurusnya Lin Ramli, telefon bimbit milik Arja telah dicuri dan laman akaun sosial pelakon filem Anu Dalam Botol itu telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Telefon bimbit Arja hilang malam tadi selepas kami pulang daripada makan malam dan dia menyedari hal tersebut ketika sudah pun berada di rumah.
“Arja cuba membuang video tersebut, namun malangnya akaun itu sudah ditukar kata laluan dan dikawal oleh pihak tertentu.
“Kami sudah buat laporan polis selepas mengetahui kehilangan telefon itu malam tadi dan sekarang ingin ke Celcom untuk urusan kehilangan,” ujarnya kepada mStar Online.
Sementara itu, Lin memberitahu, buat masa ini Arja belum bersedia memberi sebarang kenyataan mengenai video tersebut kerana terkejut dan tertekan.
Menerusi video berdurasi 15 saat, Arja dilihat sedang menimbang bola dengan memakai baju berwarna merah jambu dan hanya berseluar dalam di dalam sebuah rumah.
Rakaman sensasi tersebut sekali gus mengundang kecaman ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai untuk dimuat naik.
Dalam perkembangan lain, video itu dilihat sudah dipadam dari akaun Instagram Arja. – MYNEWSHUB.CC