JITRA – Jabatan Mufti negeri hari ini diminta melancarkan segera kempen memberi kefahaman kepada rakyat terutama golongan muda tentang ancaman militan Daesh agar mereka tidak terpengaruh oleh kumpulan pengganas itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata kumpulan Daesh menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk memesongkan akidah umat Islam bagi menyertai mereka.
“Kita bimbang ia mempengaruhi umat Islam terutama golongan muda yang ilmu agamanya baru setebal kulit bawang.
“Saya anggap perkara ini serius dan tidak mahu pengaruh itu menular di negara kita termasuk Kedah.
“Kita kena bertindak segera dan telah meminta pejabat Mufti untuk memberikan respon mengenai ancaman itu,” kata Mukhriz kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Desa Keda (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah), Wang Tepus di sini.
Menteri Besar berkata masyarakat setempat terutama di kampung-kampung hendaklah bertindak segera jika melihat adanya pengaruh kumpulan itu di tempat mereka.
“Ini bukan sahaja peranan guru agama, tokoh agama, institusi masjid tetapi ia adalah peranan semua pihak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata kerajaan negeri akan membantu golongan petani seperti penoreh getah yang kini terkesan dengan kejatuhan harga komoditi itu.
Katanya, selain memberikan bantuan beras percuma di pusat khidmat wakil rakyat, kerajaan negeri juga bercadang mendapatkan mesin bagi meningkatkan kualiti getah skrap.
“Kita akan berunding dengan Lembaga Getah Malaysia untuk membantu mendapatkan mesin-mesin ini yang boleh menghasilkan getah berkualiti,” katanya.
Semalam, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah menyarankan Menteri Besar dan anggota kerajaan terus mencari jalan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kejatuhan harga komoditi dan nilai ringgit. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]OilG3t8VnCk[/wpdevart_youtube]