KUALA LUMPUR – Kumpulan militan Negara Islam (IS) tidak akan mencapai cita-cita perjuangannya dengan menyasarkan serangan ke atas orang awam.
Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berkata, orang awam yang sering menjadi sasaran IS tidak terlibat dalam membuat dasar negara.
“Orang awam dan rakyat jelata tidak terlibat dalam membuat dasar negara.
“Sebarang bentuk keganasan yang melibatkan orang awam, bukan menjadi sasaran untuk mencapai matlamat sesuatu perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Mohamad berkata, PAN hairan mengapa pejuangan IS kononnya mencegah kemungkaran dan menegakkan keadilan tetapi memangsakan orang ramai.
Katanya, kerajaan dan orang ramai perlu mengkaji akar umbi yang menyebabkan terjadinya insiden seperti itu.
“Pandangan bahawa orang awam boleh dimangsakan untuk mencapai perjuangan mesti dikritik, ditentang dan tidak boleh diterima akal mahupun hujah agama,” katanya.
Beliau berkata, ajaran mana-mana pihak yang membolehkan pengeboman berani mati terhadap orang awam untuk mencapai cita-cita perjuangan perlu dikaji dan dilihat secara serius.
“Jika ia dilakukan atas nama Islam, apakah ia membawa imej yang baik mencemar imej agama dan orang Islam sendiri,” katanya. – mynewshub.cc