STOKE-ON-TRENT (United Kingdom) – Jaringan pemain gantian, Jordon Ibe pada babak pertama memberikan Liverpool kelebihan pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga Inggeris menentang Stoke City, awal pagi ini.
Ledakan Ibe mengatasi penjaga gol Jack Butland untuk memberikan pasukan bimbingan Jurgen Klopp kemenangan 1-0 pada perlawanan di gelanggang lawan yang turut menyaksikan pasukan itu dibelenggu semula dengan masalah kecederaan.
Pemain perancang, Philippe Coutinho dan pertahanan tengah, Dejan Lovren kedua-duanya terpaksa dikeluarkan pada minit ke-35 perlawanan selepas mengalami kecederaan hamstring.
Coutinho mengalami kecederaan itu ketika melakukan hantaran silang, sementara Lovren tercedera ketika melungsur dalam persaingan dengan Xherdan Shaqiri.
Ia kini menjadi tanda tanya berapa lama mereka terpaksa berehat. Namun kedua-dua pemain ini bakal menyertai senarai pemain yang tercedera seperti Jordan Henderson; penyerang, Daniel Sturridge dan Divock Origi serta pertahanan Martin Skrtel.
Meskipun dengan pertambahan kecederaan, Klopp boleh menarik nafas lega selepas pasukannya mempamerkan persembahan mengecewakan apabila tewas 2-0 kepada West Ham United dalam saingan Liga Perdana pada Sabtu lalu.
Pertahanan Liverpool turut dibayangi dengan masalah kecederaan termasuklah Lovren dan Mamadou Sakho sementara Kolo Toure kembali beraksi. – AFP
[wpdevart_youtube]pDYUchpMB4I[/wpdevart_youtube]