KOTA BAHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan telah menyita 96 kenderaan klon di negeri ini sejak 2014 hingga semalam.
Pengarahnya, Mahasan Mustapa berkata antara kenderaan klon yang disita ialah kereta mewah jenis BMW, Mercedes-Benz, Subaru dan Toyota.
“Pembeli yang ditahan pula kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana serta penjawat awam. Mereka membeli kenderaan klon ini daripada sindiket yang beroperasi di laman sosial terutama Facebook dan aplikasi WhatsApp.
“Kenderaan klon ini ditawarkan semurah RM5,000 bagi kereta jenis Honda Jazz, manakala RM25,000 bagi Toyota Vellfire,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mahasan berkata beberapa individu yang terlibat dalam sindiket kereta klon itu telah dikenal pasti dan nama mereka telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dibuat melibatkan anggota sindiket di negeri ini dan keadaan masih terkawal,” katanya. – BERNAMA