KITA biasa mendengar manusia memilih untuk menyayangi kucing, anjing dan arnab. Tetapi bagaimana pula sekiranya ada yang memilih untuk ‘berkawan’ baik dengan itik? Memang pelik, tetapi inilah yang terjadi pada seorang kanak-kanak di Freeport, Maine, Amerika Syarikat.
Kisah Kylie Brown yang berusia 5 tahun menjadi viral setelah cerita dia berkawan dengan seekor itik yang dinamakan Snowflake tersebar dengan meluas di media sosial.
Snowflake yang berasal dari Maine, dibela oleh keluarganya dan mereka menjadi sangat rapat sejak itik tersebut masih kecil lagi hingga hampir tidak boleh dipisahkan.
Mereka selalu bermain di pantai dan menaiki buaian bersama-sama. Lebih menarik, pada perayaan Halloween yang lalu mereka sama-sama memakai kostum dari filem animasi terkenal, Frozen. Kylie memilih untuk memakai kostum Puteri Elsa manakala Snowflake disarungkan kostum Olaf.
Keakraban mereka dilihat seperti hubungan di antara manusia dengan manusia. Ini kerana rutin harian Snowflake ialah menunggu Kylie pulang dari sekolah dan mereka akan tidur bersama-sama.
Ibunya Ashley berkata, mereka sekeluarga kini menganggap Snowflake sebahagian daripada ahli keluarga mereka sendiri. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Metro UK
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=OWiyelntPjs]