Rome – Polis antimafia Itali menangkap seorang ketua samseng yang dikehendaki di Naples selepas dia keluar dari tempat persembunyian untuk melihat anaknya yang baru dilahirkan.
Nicola de Martino, 23, sebelum ini dituduh menganggotai kumpulan jenayah terancang Camorra.
Waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan terhadapnya kerana kaitan dengan kumpulan mafia, penyeludupan dadah dan pemilikan senjata secara haram.
Media tempatan melaporkan De Martino yang bersembunyi sejak 2014 ditangkap ketika tiba di sebuah apartmen di Saviano, kawasan kejiranan di Naples, tempat dia berjanji dengan isteri untuk melihat anak lelakinya yang baru dilahirkan.
Camorra, antara sindiket mafia terkenal dan paling lama di Itali didedahkan menerusi novel karya wartawan Roberto Saviano berjudul Gomorrah dan filem terbitan 2008 yang berjudul sama. – AFP/myMetro Online