KAHERAH – MESIR. Kumpulan kedua Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza bersama kira-kira tujuh tan bekalan makanan dan ubat-ubatan selamat tiba di Lapangan Terbang Kaherah, Ahad.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 11 pengamal media, lapan sukarelawan dan seorang doktor tiba di lapangan terbang itu pukul 6 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia).
Naib presiden KP1M, Datuk Mohd Farid Hassan yang tiba di Kaherah sebelumnya bersama kumpulan pertama berkata bekalan berkenaan akan disimpan di Dewan Malaysia di Abbasiah, kira-kira satu jam perjalanan dari Lapangan Terbang Kaherah.
“Kami akan cuba mendapatkan pelepasan dari kargo lapangan terbang dan mengkaji sama ada kami boleh memindahkan semua bekalan dari terminal ke Abbasiah hari ini bersama tiga tan metrik bekalan yang kami bawa sebelumnya bersama kumpulan pertama di terminal,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
Kumpulan pertama lapan orang tiba di Kaherah, Khamis lepas sementara baki 65 anggota misi kemanusiaan diketuai oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka berlepas dari KLIA, Selasa ini.
Pada masa ini, Mohd Farid berkata kumpulan pengurusan KPIM di Malaysia dan Kaherah masih berusaha mendapatkan permit untuk memasuki Gaza.
Kumpulan itu merancang untuk memasuki Gaza melalui sempadan Rafah bersama 40 tan metrik bekalan makanan dan ubat-ubatan, Rabu ini.
Bantuan kemanusiaan itu adalah untuk mengurangkan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza, yang menjadi sasaran serangan hebat oleh tentera Israel.
Setakat ini lebih 2,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terkorban dalam serangan itu. – BERNAMA
SERANGAN letupan di beberapa tempat di Jakarta, Indonesia mencetuskan panik dalam kalangan warga negaranya.
Setakat ini enam orang disahkan maut dalam kejadian nekad tersebut.
Sebuah balai polis di tepi jalan raya utama rosak selepas enam letupan kedengaran sementara wartawan AFP melaporkan melihat tiga mayat bergelimpangan di jalan utama Jakarta berikutan letupan itu.
Kejadian tembak-menembak juga dilapor berlaku di sekitar kawasan Sarinah Mall yang terletak di Jalan Thamrin. – MYNEWSHUB.CC