KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Indonesia, Afghan akan membuat kelainan dalam Konsert 5 Divo apabila beliau dan penyanyi kelahiran Singapura, Taufik Batisah akan mendendangkan sebuah lagu nyanyian mendiang Michael Jackson.
Pemilihan lagu Love Never Felt So Good itu dibuat memandangkan kedua-dua penyanyi itu merupakan peminat setia penyanyi lagenda tersebut yang dianggap antara idola dalam kerjaya mereka.
Dalam konsert yang menghimpunkan lima penyanyi lelaki yang mempunyai kemantapan vokal yang tidak perlu diragui, Afghan bakal berkongsi pentas dengan penyanyi tanah air, Hafiz dan Hazama serta rakan artis negaranya, Judika selain Taufik sendiri.
“Dalam konsert itu nanti, saya akan berkolaborasi dengan Taufik untuk membawakan lagu Michael Jackson, kami perlu mencari harmoni vokal bersama selain memerlukan persiapan yang lebih banyak lagi,” katanya ketika ditemui semasa majlis sidang media Konsert 5 Divo, 3 Negara, 5 Divo, 1 Pentas di Restoran Qureshi, Kelab Golf Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengakui sedikit gementar dengan konsert berskala besar ini, Afghan enggan terlalu melayaninya kerana hasratnya adalah untuk memberikan yang terbaik untuk peminat-peminat setianya di sini yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada kerjayanya sejak dari dahulu lagi.
Sementara itu, seorang lagi bintang divo yang terlibat dalam konsert ini, iaitu Hazama tidak menganggap kesibukannya berhadapan dengan pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu yang akan diadakan Ahad ini selain menjadi mentor dalam program Mentor Milenia menjadi penghalang untuknya memberikan sepenuh perhatian terhadap Konsert 5 Divo yang bakal diadakan pada 13 Februari ini.
“Saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memberikan saya peluang untuk berkongsi pentas dengan empat lagi penyanyi lelaki yang sangat saya kagumi.
“Untuk persiapan konsert ini, saya lebih memberi perhatian kepada vokal saya,” katanya.
Hazama, 30, turut berkata beliau sangat teruja apabila dapat berkongsi pentas dengan penyanyi yang sangat dikagumi kekuatan vokalnya iaitu Judika.
“Saya amat mengagumi kekuatan vokal Judika, saya takut saya pula yang tak boleh menyanyi sebab ada dia nanti,” katanya secara berjenaka kepada Mynewshub.
Konsert 5 Divo yang dianjurkan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment akan berlangsung pada 13 Februari ini di Stadium Malawati, Shah Alam.
Tiket-tiket berharga RM1188, RM988, RM888, RM588, RM388, RM188 dan RM128 boleh didapati menerusi laman web www.ticketpro.com.my, rangkaian Rock Corner serta melalui talian Hotline 017-6828038.
Dapatkan tiket anda sebelum terlambat kerana tiket-tiket adalah terhad kepada 6,000 penonton sahaja. Dapatkan segera! – MYNEWSHUB.CC