IPOH – Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori kontena di Kilometer 267 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jelapang arah selatan, malam tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Rusdi Mohd Radzi berkata dalam kejadian pada kira-kira 7.20 malam itu, kereta Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 47 tahun itu terbabas sebelum bertembung dengan lori kontena yang membawa muatan alat ganti.
“Kemalangan menyebabkan lori kontena itu terbalik dan menghempap kereta berkenaan.
“Pemandu kereta cedera akibat tersepit dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan manakala pemandu lori kontena tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]d7RHraSEreg[/wpdevart_youtube]