JOHOR BAHARU – Seorang lelaki warga emas ditemui mati dengan keadaan kepala berdarah dipercayai akibat dipanah petir di sebuah ladang nanas di Simpang Renggam dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata mayat Kateman Samang, 66, yang berstatus penduduk tetap (PR) itu dijumpai orang awam pada 8.20 malam sebelum melaporkannya kepada polis.
“Mengikut maklumat orang awam, mangsa dijumpai ketika hujan lebat dan petir. Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati ada kesan lebam dan melecur, manakala baju dan seluarnya terkoyak.
“Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur dan elemen jenayah dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kluang dekat sini untuk bedah siasat. – BERNAMA