GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar lori membawa muatan maruku dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kemalangan pada 8.10 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta badan.
“Semasa kejadian, mangsa membawa isterinya yang juga warga Myanmar dan menurut saksi mangsa dari arah Bayan Lepas menghala George Town dan menunggang motosikal di lorong paling kanan.
“Lori yang berada di laluan yang sama itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke lorong paling kanan dan melanggar mangsa. Lori terbabit turut terbalik dan merentangi jalan,” katanya di sini Jumaat.
Beliau berkata isteri mangsa berusia 20-an cedera parah dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan manakala pemandu lori berumur 51 tahun itu hanya cedera ringan.
Mior Faridalatrash berkata mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat.
“Identiti mangsa masih belum diketahui dan polis menunggu waris si mati iaitu isterinya yang sedang menerima rawatan untuk mendapatkan maklumat lengkap,” katanya.
Menurut Mior Faridalatrash, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan berkenaan turut menyebabkan kesesakan teruk lebih dua jam dan kenderaan bergerak perlahan dari tol masuk Jambatan Pulau Pinang serta Bayan Lepas iaitu sejauh lebih 15 kilometer. – BERNAMA